New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/25/pkr-jadi-pendamai-antara-dap-dan-pas/
PKR jadi 'pendamai' antara DAP dan PAS
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tampil menjadi ‘pendamai’, dengan menawarkan diri menjadi orang tengah, bagi menyelesaikan kemelut dua rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP dan PAS berhubung pelaksanaan undang-undang hudud.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, satu pertemuan berasingan akan diadakan dalam tempoh tiga hari antara PAS dan DAP, bagi mencari titik penyelesaian berhubung konflik itu.
“Sama juga kepada pimpinan DAP yang akan bertemu dengan pimpinan PKR, kami akan duduk bersama DAP dan juga PAS.
“Seperti ‘tripod’, keseluruhan Pakatan tidak akan mampu bertahan, jika kekurangan salah satu kakinya, sekurang-kurangnya kami cuba memainkan peranan ini.
“Saya rasa isu paling rumit sebelum ini sudah dapat diselesaikan, melalui perbincangan dan itu akan tetap berlaku (duduk dan berbincang),” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, parti itu tidak apat lagi bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa secara berterusan tidak berlaku jujur dalam tindakannya.
DAP turut menegaskan telah hilang kepercayaan serta keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin dalam PR, dan dengan itu akan menamatkan semua hubungan, selain berhenti bekerjasama dengan beliau.
Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta DAP tidak berlapik mengeluarkan kenyataan dan berterus terang dengan agenda sebenar mereka.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataan DAP itu tidak wajar, kerana sebagai Presiden, apa sahaja tindakan dan kenyataan yang dibuat Abdul Hadi merupakan dasar PAS.
Turut sependapat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi yang mendakwa, DAP mempunyai agenda tersembunyi, apabila mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan bukan PAS.
Jelasnya, DAP menaruh harapan untuk terus bersama PAS dalam PR, tetapi tidak mahu Abdul Hadi sebagai Presidennya, ekoran ketegasan Abdul Hadi mempertahankan prinsip perjuangan yang sangat sukar dilunturkan mereka.
“Bahasa mudah, mereka gagal tundukkan Abdul Hadi untuk mengikut rentak dan kehendak mereka.
“Dalam masa sama, mereka yakin ada pimpinan PAS yang boleh menari seirama dengan lagu yang dipasang oleh mereka,” katanya.