New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/29/pelajar-bertanggungjawab-kuasai-bahasa-melayu/
Pelajar bertanggungjawab kuasai bahasa Melayu
KUALA LUMPUR, 29 Oktober:
Pelajar Cina dan India bertanggungjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia tanpa perlu bergantung sepenuhnya terhadap insentif Kementerian Pendidikan Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, pelajar Cina dan India yang berkenaan harus berusaha sendiri untuk memastikan penguasaan penuh kepada bahasa Malaysia bagi membolehkan mereka bertutur dengan fasih.
“Langkah untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Malaysia di sekolah oleh kaum India dan Cina telah banyak diambil seperti di peringkat sekolah ada mengadakan program bulan bahasa, karnival bahasa membaca surat khabar.
“Semua program tersebut diadakan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Namun pelajar tidak boleh terlalu bergantung dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia kerana pelajar itu sendiri bertanggungjawab untuk menguasai bahasa sendiri dan mata pelajaran lain,” katanya di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Grik, Datuk Hasbullah Osman yang meminta kerajaan menjelaskan tindakan yang diambil oleh Menteri Pendidikan dalam mengatasi masalah segelintir peserta Program Latihan Khidmat Negara daripada kaum India dan Cina tidak boleh bertutur dalam bahasa Malaysia.
“Baru-baru ini pendedahan statistik Khidmat Negara mendapati seramai 604 orang peserta kaum India dan Cina mengikuti program tersebut langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Malaysia, bahkan ia didedahkan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong melalui kajiannya seramai 14,000 pelatih daripada 79 buah kem pada tahun 2010 juga tidak dapat menguasai bahasa Malaysia.
“Gesaan untuk mengatasi masalah ini adalah kerana bahasa Malaysia telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan yang bukan sahaja dipelajari atau hanya lulus di dalam peperiksaan semata-mata. Ini kerana melalui penguasaan bahasa tersebut, jika dihayati pelajar dapat mengeratkan antara perpaduan kaum,” katanya.
Ahli Parlimen Tawau itu juga menyarankan supaya pelajar di sekolah mengambil inisiatif sendiri seperti mengambil tuisyen atau latihan tambahan dalam menguasai bahasa itu.
“Saya ketika menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) hanya pandai menyebut lima patah perkataan bahasa Malaysia.
“Namun hasil usaha dan ingin belajar, saya dapat menguasai bahasa itu dengan baik sehingga hari ini,” jelasnya.