New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/27/golongan-pertengahan-kota-terpinggir/
Golongan pertengahan kota, terpinggir
Kuala Lumpur 27 November:
Tinggal enam tahun sebelum tahun sasaran negara maju pada 2020, dan hanya 35 daripada 46 peratus orang Melayu di bandar telah mendaftarkan diri sebagai pengundi.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang,Datuk Zainal Rafique berkata jumlah pengundi Melayu adalah kecil berbanding pengundi bukan Melayu, seperti kaum Cina di mana 35 peratus telah mendaftar sebagai pengundi.
Beliau membangkitkan isu jumlah pengundi ini sebagai sebagai mengajak perwakilan melihat dan memahami realiti politik sebenar di Lembah Klang khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mempersoal sama ada jentera parti telah bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kita hanya ada enam tahun sahaja lagi sebelum tahun 2020 untuk negara kita mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dan PRU ke-14 pula akan diadakan sebelum itu. Adakah semua jentera parti telah bersedia?
“Jika silap perhitungan tahun 2020 nanti, tidak mustahil kita semua akan jadi pembangkang dan tidak mustahil juga Melayu akan hilang kuasa di bumi sendiri.
“Yang tinggal nanti hanyalah nama-nama Jalan sahaja seperti Jalan Dato Onn, Jalan Tengku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak. walhal UMNO dan kerajaan telah membangunkan kawasan bandar tetapi kita gagal menawan pengundi,” ujarnya petang tadi.
Beliau juga menekankan sebanyak 46 peratus daripada populasi di Kuala Lumpur terdiri daripada orang Melayu, sementara peratusan kaum Cina kurang sikit iaitu sebanyak 43 peratus dan 11 peratus lagi terdiri daripada bangsa-bangsa lain.
Statistik ini tidak termasuk warga asing yang membanjiri kota metropolitan ini.
“Masalahnya sekarang, sikap orang Melayu di bandar yang tidak pandang serius terhadap siapa yang menguasai kawasan bandar kerana tekanan hidup di bandar menjadikan mereka melihat politik sebagai satu perkara yang tidak akan membawa sebarang perubahan kepada kehidupan harian mereka,” katanya.
Terang Zainal lagi, daripada analisis yag dilakukan, UMNO Wilayah Persekutuan (WP) mendapati 70 peratus penduduk kota adalah daripada golongan pertengahan dan sederhana yang membayar cukai, tetapi mereka tidak diberikan perhatian serius.
“UMNO yang mewujudkan golongan pertengahan ini melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi sayang sekali kita meminggirkan golongan ini daripada arus politik perdana.
“Jadi bila tiba masa untuk pilihan raya umum, mereka terjemahkan rasa tidak puas hati ini dengan menyokong parti-parti pembangkang. Jelas kita telah terlepas pandang kepada golongan pertengahan ini,” katanya,
Justeru Zainal menyeru UMNO supaya merangka strategi berbeza untuk mendekati golongan ini .
UMNO katanya perlu melakukan sesuatu untuk membela nasib golongan ini supaya mereka tidak merasa dipinggirkan.