Loceng di pintu berdering saat Aqmar membukanya. Semerbak kertas dan dakwat di dalam kedai itu menusuk ke dalam hidungnya. Kepala Aqmar berkecamuk dengan seribu satu masalah, projek itulah, assignment inilah, topik itulah. Dalam keadaan sekarang, dikira bertuahlah kalau dia dapat tidur lebih 4 jam setiap malam. Kantung gelap mengurung biji matanya, seakan-akan Syaitan al-Rajim sendiri datang bertenggek di kedua matanya, menghasut dia untuk tidur.
"Yarhamkallah," sahut si pekerja kaunter dari seberang.
Macam kenal je suara tu...
Aqmar berjalan ke kaunter. Matanya rambang melihat susunan pen yang sedia ada di dalam kotak kaca dibawah. Dia menyandarkan lengannya di atas kotak kaca tersebut, menayangkan rambut kepalanya kepada pekerja kaunter. Dia mengeluh.
Banyaknya pen... pening kepala otak aku.
"S-saya- Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"
Suara itu memecah keheningan dalam kepala otak Aqmar. Suaranya dia kenal, tapi gagap... ada seorang sahabatnya di sekolah menengah empunya gagap yang sama seperti itu. Ariff, bukan, Suhail, bukan, Wajdi, bukan, aik... jangan-jangan?
"Saya nak cari pen, bang? Nak tulis kisah cinta kita berdua?" Aqmar mendongak kepalanya ke pekerja kaunter yang tampan itu, ayat-ayatnya diiringi senyuman manis, lebar terukir di bibirnya.
"A-ah... Saya ada banyak lagi dekat belakang ni." Pipi si pekerja kaunter itu terus kemerahan, setelah terdengar usikan Aqmar.
Ada seorang karibnya di sekolah menengah, dialah menjadi subjek kepada kata-kata manis, ayat-ayat pickupline Aqmar. Alasannya, Aqmar terhibur melihat wajahnya bertukar merah, perangainya yang tegang menjadi lebih tegang.
Jikalau benar orang yang sama, sama perangainya dek diusik Aqmar, tidak lain tidak mungkin, takdir telah membawa Izmal bertemu kembali dengan Aqmar, tali perikatan yang saling menarik antara pasangan tersebut. Keheningan sementara berlangsung antara mereka berdua. Tanpa mereka tahu, di seberang alam, sekumpulan Malaikat telah masuk, hendak menyaksikan pertemuan itu.
Aqmar menyaksikan gelagat Izmal(?) yang menghiburkan itu. Dalam hendak tunduk ke bawah, tumbang satu stak buku nota, hendak naik kepalanya, terhantuk, lalu jatuhlah segala barang kecil di meja itu. Aqmar tersenyum, keyakinannya bertambah.
Izmal memberi senyuman manis kepada Aqmar, sendiri menyedari kelucuan gelagatnya.
"Perangai abang ni sebijik perangai kawan saya kat sekolah menengah," Aqmar cuba mencecah kaki ke sungai, ingat lagi atau tidak si Izmal ni.
"Ouh, yeke... orang kata, kononnya saya sekarang, jauh beza dengan waktu sekolah menengah..." Aqmar tersentak. Memang betul, Izmal yang berada di depannya sekarang, jauh beza dengan Izmal yang dia kenal dahulu. Izmal dahulu pendek, diukur dengan Aqmar, Aqmar lebih tinggi seibu jari. Sekarang, Izmal bagaikan menara, bayang-bayangnya menutupi kelibat Aqmar. Izmal di hadapannya sasa, tegap, seperti atlet, dahulu Izmal kurus keding, samalah taraf dengan Aqmar.
"Eh, takkan kau tak ingat aku!" Aqmar berdiri lalu menyilang lengannya, perilakunya semakin inkuisitif.
"Maaf, saya tak jumpa padanan untuk tuan dalam otak saya." Kedengaran dari seberang alam, keluhan dari segala hadirin hadirat.
Aqmar, sedikit kecewa, meneruskan dengan bayarannya.
Tak apalah, dia tak ingat aku ni siapa...
Biarlah perasaan ini terbuku dalam diriku...
Usai membuat bayaran, dengan tangannya sudah menggenggam pemegang pintu, sedia untuk keluar dan meneruskan harinya, dirinya telah beraman dengan kemungkinan bahawa dia tidak akan menjumpai lagi Izmal, barangkali buat seumur hidupnya...
"Ouh, sebab ni kot kau lupa!"
Aqmar menaikkan rambut depannya, menampakkan akar rambutnya yang putih.
Selama dia membesar, rambut semulajadinya yang putih mengasingkannya dari orang lain, cakap sahaja "mamat rambut putih," sah-sah Aqmar yang diperkatakan itu. Mata Izmal berkembang dek keterujaan. Segala malaikat pun bergembiralah, berdoa berjemaah agar mereka sepasangan berbahagia dunia akhirat.
"Ouh! Aqmar! Ingat, ingat!"
Perangainya yang tegang, sirna seperti gula dalam air panas, berganti nostalgia. Dari sebalik kaunter, Izmal memanjangkan lengannya, mendakap Aqmar dalam pelukan persahabatan.