Maruah. Sejak aku kecil lagi, Mama Ayah selalu berpesan maruah diri kena jaga, kalau tak nak jaga maruah diri, jagalah maruah Mama Ayah. Jangan menconteng arang ke muka Mama Ayah. Aku membesar dengan menelan semua pesan-pesan ini tanpa sebarang bantahan dan persoalan sehinggalah pada suatu hari aku terjumpa dengan seorang kakak sukarelawan, Kak Az (bukan nama sebenar) yang pernah menyertai misi bantuan kemanusiaan di Myanmar kot, kalau tak silap aku. Misi kemanusiaan yang berfokuskan kepada emansipasi wanita sempena Hari Wanita Sedunia. Tujuan misi tersebut untuk mengajar kemahiran-kemahiran hidup kepada wanita tempatan di Myanmar khususnya di kawasan pedalaman yang kebanyakan wanita di situ bekerja sebagai pelacur. Ya, kalian tidak salah baca. PELACUR. Ok, ini ceritanya...
Kami ke sana di bawah sebuah badan NGO dengan matlamat untuk membebaskan wanita-wanita yang terpaksa melacur demi menyara kehidupan mereka. Kami berkampung hampir 3 bulan di sana, mengajar wanita tempatan di situ menjahit, merajut, bertukang, memasak dan pelbagai jenis kemahiran yang kami rasakan dapat membantu mereka menjana pendapatan tanpa perlu menjual diri mereka. Selepas program 3 bulan itu, kami pulang ke tanah air. Namun, kami tidak biarkan program tersebut berlalu begitu sahaja dan kami kembali semula selepas 5 bulan untuk melihat hasil program kami di kawasan tersebut dan seterusnya untuk membuat post-mortem program. Alangkah terkejutnya kami, keadaan di sana tidak berubah walaupun sedikit. Wanita-wanita di sana masih bekerja sebagai pelacur meskipun mereka sudah pandai menjahit, merajut, bertukang dan sebagainya. Saya bertanyakan (dengan bantuan penterjemah bahasa tempatan) kepada salah seorang wanita di situ, Saras yang turut dalam program kami tempoh hari.
Az: Saras, mengapakah kamu masih menjadi pelacur sedangkan kamu sangat pandai menjahit dan menyulam bahkan kamu antara peserta program kami yang paling menyerlah dalam kelas kemahiran.
Saras: Benar, tetapi hasil menjahit dan menyulam tidak selumayan hasil melacur. Saya mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan sakit, 5 orang anak yang sedang membesar dan suami saya pula tidak bekerja. Hanya saya seorang sahaja bekerja menyara keluarga. Suami saya pula pemalas dan hanya tahu mencari pelanggan yang kaya-kaya untuk melacurkan saya. Jikalau saya tidak melacur, agak sukar kami sekeluarga untuk meneruskan kehidupan seharian dengan pendapatan sekecil hasil menjahit itu.
Az: Kamu tidak ada maruah ke? Perbuatan menjual diri ini tidak bermaruah pada mata masyarakat!
Saras: Hahaha. Apa ada dengan maruah? Maruah tidak boleh berikan kekenyangan kepada anak-anak saya. Maruah tidak boleh dijadikan tukaran untuk membeli ubat-ubatan untuk mengubat ibu bapa saya yang sakit. Maruah adalah perkataan untuk orang-orang terpelajar dan berada di negara maju seperti kalian sedangkan kami di sini terbelenggu dengan kehidupan kotor dan kemiskinan. Kalau saya bekerja di kilang, saya bekerja penat-penat dan susah payah selama lapan jam, gaji saya paling kurang 3600 kyat (bersamaan RM 12.38) tetapi dengan melacurkan diri, sekali sesi melacur saya akan dapat 5000 kyat (bersamaan RM 17.23), jumlah yang tidak akan mampu dicapai oleh penjaja jalanan sekalipun dia bekerja seharian suntuk!
Az: Jikalau nanti kamu sudah tua dan kecantikan kamu sudah hilang dimamah usia, bagaimana kamu mahu menyara kehidupan kamu?
Saras: Saya menyimpan sedikit wang daripada hasil pelacuran saya sebelum menyerahkan bakinya kepada keluarga saya. Saya tidak kisah untuk melacurkan diri saya semasa saya masih muda dan mampu bekerja kuat supaya ketika saya tua, saya sudah cukup simpanan wang untuk menyara sisa-sisa hidup saya dan sudah tentu semua itu tidak akan tercapai sekiranya saya memikirkan tentang maruah saya dan bekerja di kilang. Hahaha.
............. demikianlah kisah Kak Az pada saya..........
Selepas mendengar kisah Saras daripada Kak Az, saya mula berfikir kembali adakah salah apa yang Mama Ayah sering pesan pada saya tentang maruah selama ini? Apakah sebenarnya fungsi maruah? Sehingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya tentang persoalan ini.