Berbahasa Melayu atas Intelek Kendiri, Jangan Jadi Cerminan Kolonialisme
Saya jelaskan dahulu pendirian saya mengenai bahasa Melayu; bahasa Melayu bahasa dagang, bukan bahasa kebangsaan.
Konsep negara bangsa ini bak tali yang dipegang erat sejak zaman penjajahan oleh para nasionalis hinggakan boleh disalah guna pada hari ini untuk menyelubungkan segala masalah sosiopolitik di negara kita. "Wahai dunia luar, negara Malaysia aman damai, kami bersatu di bawah naungan bangsa Malaysia!" Dan semestinya wadah untuk muslihat segala muslihat di negara kita ialah isu bahasa. Konsep "bahasa Melayu" sebagai bahasa pemersatu ini buatan semata-mata untuk kononnya "menyatukan" semua suku kaum yang ada di negara ini. Padahal, sudah lama bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa "pemersatu" di sini, cuma bukan bahasa Melayu yang diinginkan atau cara pemersatuan yang diimpikan.
Bahasa pasar yang digunakan sehari-hari oleh rakyat hari ini ialah hasil ubah ansur bahasa yang murni dan tidak dicampurtangani para preskriptivis. Ini realiti yang ditolak para ulama sekular tempatan, yang menggelarkannya sebagai bahasa "basahan" yang "tidak patut digunakan dalam urusan rasmi." Walhal, negara lain menjadikan pijin dan kreol sebagai bahasa kebangsaan! Timor Leste berani merasmikan Tetun Dili di samping penggunaan bahasa Portugis dalam pendidikan. "Persatuan" penduduknya melalui kebiasaan menggunakan bahasa Tetun dalam hubungan antar-etnik, bukan untuk membentuk sebuah bangsa Timor Lorosa'e.
Perumpamaan J. M. Gibbon yang langsung menolak konsep melting pot di Amerika melainkan menghuraikan keadaan sosial di Canada sebagai mozek budaya sering ternginang-ngiang dalam fikiran saya. Bangsa lain tidak patut dipaksa untuk berasimilasi melainkan mendukung lanskap kepelbagaian negara. Realitinya, sejarah tidak boleh diubah melainkan dihargai.
Menyambung dari kata realiti itu sendiri, pola petempatan di Malaysia (terutamanya di Semenanjung) ialah hasil dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris terdahulu. Dari situ, tidak dampak kenapa harus kita paksa mereka yang beretnik untuk berbahasa baku sejak kecil. Adakah tidak cukup mereka boleh berbahasa Melayu secara perbualan?
Saya terfikir akan era 70-an, ketika dasar pemelayuan di Malaysia Timur semakin rancak. Di sekolah berbahasa Melayu, di pejabat berbahasa Melayu, hidup sehari-hari dimelayukan sehingga bahasa etnik tempatan hanya terbiar dan mereput di rumah. Kesannya jelas hingga kini, ketika pemuda tidak tahu berbahasa etnik kerana ibu bapa mereka mahu agar mereka dapat berasimilasi dengan baik. Berasimilasi di tanah sendiri! Fikir-fikirkanlah ironi hal itu.
Pada hari ini pula, didapati bahawa orang Melayu malu bertutur dalam dialek sendiri. "Ini hanyalah dialek atau telor dan bukanya bahasa Melayu yang lengkap sifatnya." Dalam kertas kajian bahasa, dialek sering dibandingkan dengan bahasa piawai, sepertinya dialek itu adalah keturunan bahasa standard, padahal bahasa piawai yang kita kenal pada hari ini pula asalnya dari sebuah dialek Johor-Riau juga. Alahai.
Takkah ketara bahawa konsep "bahasa kebangsaan" yang asing ini bukan mengayakan adat benua kita, melainkan memiskinkan dan menarik kepelbagaian yang telah wujud sejak beribu tahun daripada rakyat kita? Zalimnya kamu untuk mengenakan polisi bawaan orang asing dengan gelaran ideologi tempatan!












