New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/30/selesai-segera-isu-air-berlandas-semangat-terma-perjanjian-12-sept-2014-titah-sultan-selangor/
Selesai segera isu air berlandas semangat terma perjanjian 12 Sept 2014, titah Sultan Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya isu berkaitan perjanjian penstruktuan industri bekalan air di negeri itu dimuktamadkan dengan segera dan tidak dipolitikkan.
“Air adalah keperluan yang sangat penting kepada rakyat.
“Beta mahu langkah persediaan diambil untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi dan memenuhi permintaan domestik dan keperluan rakyat.
“Beta menyeru agar perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak supaya ia dilaksanakan dengan sempurna untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kehendak rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor 2015 hari ini.
Baginda turut menitahkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali agar bersikap tegas mempertahankan kedaulatan negeri.
Namun pada masa sama, baginda berharap isu berkaitan penstrukturan semula industri bekalan air itu dapat dimuktamadkan secepat mungkin berdasarkan semangat dan terma perjanjian yang telah ditandatangani pada September tahun lalu.
“Beta mahu Menteri Besar bertegas mempertahankan kepentingan rakyat. Beta harap penstrukturan semula air di Selangor dapat dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014.
Di samping itu, baginda juga bertitah menasihatkan pimpinan kerajaan negeri Selangor mengenai kepentingan menggunakan pendekatan secara musyuwarah bagi menyeleseaikan isu berkenaan secara adil.
“Beta yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat dilakukan demi menjamin perkhidmatan air terawat yang efisyen dan mesra rakyat kepada warga Selangor, dan menjamin kesejahteraan,” titah baginda.
Azmin pada 10 Mac lalu membuat pengumuman mendakwa Perjanjian Utama pengstrukturan semula industri air negeri itu yang ditandatangani bersama Putrajaya lupus dan terbatal akibat tindakan Putrajaya yang ingin menuntut sejumlah 26,000km jajaran tanah yang dilalui paip saluran air sedangkan perkara itu tidak dinyatakan dalam Perjanjian Utama.
Beliau menyifatkan kegagalan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air negeri itu berpunca daripada pendirian Putrajaya yang enggan menghormati prinsip dan semangat Perjanjian Utama yang menyaksikan kerajaan negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik negeri Selangor.
Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada hari yang sama juga menafikan dakwaan Azmin.
Ongkili menjelaskan Putrajaya tidak pernah berhasrat untuk mengambil alih tanah sepanjang 26,000km berkenaan, sebaliknya ia hanya akan dipajak untuk tempoh 45 tahun.
Menurut beliau lagi terma perundangan juga ada menyebut sebarang pajakan aset untuk tujuan pembangunan dan penyaluran dana antara dua pihak akan turut merangkumi tanah di kawasan itu.
Katanya lagi, perjanjian pajakan antara PAAB dan PASSB juga ada menjelaskan aset serta tanah itu akan diambil alih selama 45 tahun oleh Kerajaan Persekutuan, sebelum diserahkan semula kepada kerajaan negeri Selangor sebaik tempoh perjanjian itu tamat.