New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/24/jangan-bandingkan-pt3-dengan-pmr-kata-p-kamalanathan/
Jangan bandingkan PT3 dengan PMR, kata P.Kamalanathan
KUALA LUMPUR, 24 Disember:
Keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Isnin lalu menimbulkan pelbagai komen sehingga ada pihak yang membandingkan ujian tersebut dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak membandingkan PT3 dengan PMR kerana kedua-dua ujian ini mempunyai format yang berbeza.
“PT3 lebih subjektif dan menggunakan kaedah respon serta menguji pelajar berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) berbanding PMR yang berbentuk jawapan aneka pilihan.
“Usaha membandingkan kedua-dua peperiksaan ini adalah sia-sia,” katanya dalam blognya, hari ini.
Beliau berkata, kritikan orang ramai mengenai PT3 menunjukkan rakyat negara ini prihatin akan sistem pendidikan negara dan tujuan tersebut adalah sama dengan Kementerian Pelajaran yang mahu menyediakan pendidikan berkualiti.
Ujarnya lagi, PT3 adalah format peperiksaan yang baru dan memerlukan masa untuk perubahan yang positif.
“Saya tida bersetuju dengan mereka yang mengkritik ujian PT3 kerana melihat ada pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dan semestinya mereka ini melalui sistem pendidikan yang sama dalam negara,” katanya.
Jelasnya, contoh yang dapat dilihat adalah Aisyah Azizul Raheem, 15 yang merupakan anak sulung kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang pernah ditahan pihak berkuasa Sweden kerana mendera anak mereka awal tahun ini.
Walaupun dilanda krisis keluarga, Aisyah menunjukkan prestasi yang luar biasa dengan memperolehi keputusan 5A walaupun belajar di negara ini dalam tempoh 11 bulan.
“Jika mereka dapat memahami format PT3 dan mencapai keputusan yang cemerlang, mengapa tidak pelajar lain?
“Persoalan yang perlu dilihat kini adalah mengapa pelajar lain boleh mencapai keputusan yang cemerlang walaupun ada ibu bapa yang mendakwa PT3 ini susah kepada media,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam memastikan pendidikan berkualiti dalam masa yang singkat.
Menurutnya, kementerian sentiasa memberi ruang kepada semua pihak untuk memberi pendapat bagi menjadikan sistem pendidikan negara terbaik di dunia.