New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/09/02/gerakan-mahu-zahid-disiasat-bawah-akta-hasutan/
Gerakan mahu Zahid disiasat bawah Akta Hasutan
KUALA LUMPUR, 2 September:
Ahli politik Barisan Nasional didesak hentikan mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bukan Melayu semakin sombong.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong turut mempersoalkan apa yang cuba Zahid buktikan melalui kenyataan terbabit.
“Zahid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian walaupun beliau hanya menyasarkan golongan tertentu atau semua bukan Melayu di Malaysia.
“Malah, kenyataan itu boleh mendorong kepada kebencian kaum atau mempolitikkan dominasi kaum di negara ini, ia adalah tidak sihat,” katanya.
Dalam masa yang sama, dia turut meminta Zahid agar sedar bahawa Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dalam negara yang baru sahaja menyambut kemerdekaan ke-57.
“Jika ia sememangnya hanya agenda politik, maka dia adalah seorang ahli politik yang tamak,” katanya.
Andy berkata pagi ini dia berada di mahkamah bersama Dr Azmi Shahrom untuk mendengar pendakwaan dibuat terhadap pensyarah itu.
“Tuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) di bawah Akta Hasutan 1948 adalah satu lagi tindakan tidak masuk akal oleh pihak berkuasa.
“Jika Azmi dengan mudah didakwa di bawah akta tersebut, saya tidak nampak kenapa akta yang sama tidak boleh dikenakan terhadap Zahid,” katanya.
Sementara itu, Andy ketika dihubungi The Rakyat Post untuk kepastian sekiranya Gerakan akan membuat laporan polis terhadap Zahid, dia berkata, pimpinan atasan Gerakan masih lagi berbincang tentang perkara itu dan akan membuat keputusan selepas ini.












