Juz 2
Juz 2 ini mengandungi surah Al-Baqarah yang bermula dari ayat 142 hingga ayat 252.
Ayat-ayat surah Al-Baqarah dalam juz 2 ini menjelaskan tentang perintah dan larangan yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam agar dapat memegang kepemimpinan. Dan ianya berkait rapat antara ketiga-tiga eleman iaitu taat kepada perintah dan larangan Allah, kemandirian dalam kehidupan dan akhirnya melahirkan benih takwa kepada Allah.
Pada bahagian awal juz 2 ini, Allah menguji ketaatan hambaNya melalui peristiwa perpindahan kiblat dari Masjidil Aqsa ke Ka'bah. Juga terdapat ayat yang menekankan isu qisas, perwarisan, kewajipan berpuasa dan ketakwaan kepada Allah. Perbicaraan tentang syariat perang, hukum-hukum jihad dan menginfakkan harta juga dijelaskan dalam Juz 2 ini.
(p/s: sedikit homework untuk mencari ayat-ayatnya. Semoga dapat meluangkan sedikit masa bersama^^)
Setelah itu, surah ini menekankan tentang:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu" [Al-Baqarah:208]
Masuklah ke dalam Islam secara total (menyeluruh) dalam setiap aspek kehidupan. Ini memberikan satu peringatan padu agar kita tidak mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain perintah Allah sebatas yang kita mahu sahaja. Sebagai contoh, kita menunaikan puasa tetapi tidak menunaikan solat. Kita memakai tudung, tapi tidak menutup aurat.
(p/s: dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh dikongsikan bersama)
Kemudian, surah ini juga menceritakan tentang aturan hidup berkeluarga yang melibatkan perihal pernikahan, penceraian, penyusuan dan peminangan (iaitu khitbah). Jika dilihat statistik terkini, kes penceraian semakin meningkat saban tahun dan hampir 6 kes penceraian direkodkan setiap satu jam. Membina keluarga merupakan satu tanggungjawab yang berat dan memerlukan persiapan. Kerana itu, ketaatan kepada Allah, takwa, puasa dan sebagainya yang dibincangkan sebelum ini merupakan antara bentuk-bentuk persiapan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.
Di akhir Juz 2 ini menceritakan tentang kisah pertempuran antara Thalut dan Jalut. Kisah ini memaparkan tentang manusia yang berlawan dengan keberanian dan manusia lain yang ketakutan menghadapi musuh. Kegagalan berlaku apabila mengabaikan perintah Allah, dan keberanian itu perlu dalam usaha mempertahankan manhaj Islam dan memegang kepemimpinan di muka bumi.
Dan kita, perlu mempersiapkan diri dengan bekal yang banyak serta berani menegakkan Islam walau pun kelihatan asing pada hari ini. Siapa kita di masa lalu adalah kisah silam yang tersimpan rapi dalam lipatan sejarah. Teruskan mengorak langkah dan mencorak kehidupan masa hadapan yang lebih indah^^
Shared from Amni Haslinda FB












