Juz 1
Dalam Juz 1 ini mengandungi surah al-Fatihah dan surah terpanjang dalam al-quran iaitu surah al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat.
Surah al-Baqarah ini memiliki 4 bahagian dalam juz 1: Pertamanya mengenai klasifikasi manusia. Kedua, menceritakan tentang contoh pertama kepemimpinan di dunia oleh Nabi Adam as. Ketiga, kisah Bani Israel yang diberikan banyak nikmat dan kesempatan untuk memimpin dunia untuk suatu tempoh yang cukup lama, tetapi akhirnya gagal dalam melaksanakan perintah Allah. Dan yang terakhir, contoh kejayaan memimpin dunia oleh Nabi Ibrahim as.
Menarik bukan? ^^
Pada permualaan surah ini, terdapat tiga golongan yang yang dinyatakan perihalnya di dalam al-quran. [Ayat 1-5] menggambarkan tentang sifat orang yang bertaqwa, [ayat 6-7] membicarakan tentang sifat-sifat orang kafir, dan [ayat 8-20] menjelaskan tentang sifat-sifat orang munafik dan menunjukkan betapa bahayanya sifat tersebut.
[p/s: boleh rujuk al-quran dan terjemahannya bersama-sama^^ ]
Pada permulaan surah sahaja sudah membuatkan kita terfikir-fikir, model manakah yang perlu dijadikan ikutan dalam kehidupan. Juga memberikan kita ruang untuk merefleksi diri dan memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.
Tujuan utama surah ini adalah pengangkatan khalifah di bumi.
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." [Al-Baqarah : 30]
Khalifah itu seorang pemimpin, yang memimpin dirinya dan orang lain untuk kembali taat kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Khalifah itu bertanggungjawab untuk menguruskan kehidupan dan memakmurkan bumi mengikut apa yang Allah perintahkan. Khalifah itu agen perubah yang akan merubah semuanya untuk meninggalkan jahiliah dan mengikut Islam.
Dan kitalah manusia, yang dipilih Allah untuk menjadi khalifah di bumi bermula dengan Nabi Adam as.
Semoga Ramadan kali ini menjadi medan untuk kita terus-menerus memperbaiki diri, terus-terusan mengajak manusia bersama kembali taat kepada Allah dan menjalani kehidupan mengikut sistem Islam yang syumul.
Shared from Amni Haslinda FB














