New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/08/kemungkinan-puteri-umno-yang-bermasalah-dyana-sofya/
Kemungkinan Puteri UMNO yang bermasalah - Dyana Sofya
KUALA LUMPUR, 8 Mac:
Puteri UMNO sepatutnya menyokong kempen Wake Up To A Good Cause dan bukan menghentam mereka yang terlibat dalam kempen kesedaran hak wanita itu.
Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, Puteri UMNO sebagai satu sayap yang mewakili golongan wanita muda sepatutnya menyokong kempen itu dan bukannya menilai daripada luaran.
“Puteri UMNO lebih suka menilai daripada luaran dan perbuatan sedemikian akan menyebabkan kaum wanita terus ditindas.
“Sekiranya mereka beranggapan gambar saya yang tidak terdedah dalam kempen itu sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan, berkemungkinan mereka yang bermasalah,” ujarnya.
Menurutnya, penilaian luaran yang dilakukan Puteri UMNO itu sangat memalukan kerana mereka bukan sahaja tidak boleh menyalurkan sumber dan tenaga untuk meningkatkan kesedaran serta membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan wanita, malah menjadi pencaci kepada golongan yang menyumbang untuk tujuan baik.
Dyana berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah yang mengecam tindakannya menyokong kempen mengutip dana dengan bergambar dalam bilik tidur.
Haryati menyifatkan gambar Dyana itu sebagai sesuatu yang sangat memalukan bagi seorang wanita kerana tidak manis dipandang masyarakat, terutamanya ia dilakukan oleh seorang ahli politik.
Sebelum ini, Dyana telah memuat naik gambar ‘selfie’ dalam bilik tidur di Facebooknya sebagai sebahagian daripada kempen ‘Wake Up To A Good Cause’ bagi tujuan mengumpul dana Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).















