Hai, saya Zafry. Guru Bahasa Inggeris yang menulis (kebanyakannya mungkin) sastera. Tiada yang akan membantah dan beritahu bahawa saya penulis (kebanyakannya mungkin) sastera yang mengajar Bahasa Inggeris. Bahkan ramai kenalan daripada dunia penulisan menggelar saya cikgu walaupun tidak pernah saya perkenalkan diri sebagai guru. Kerana mungkin selamanya orang akan mengingati kerjaya saya sebagai guru dan menulis hanya hobi sampingan yang mendatangkan sedikit wang.Β
Kerjaya menurut kamus Cambridge membawa maksud, sebuah pekerjaan atau siri pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan bekerja, terutama sekali yang medatangkan kerja yang lebih lumayan dan lebih banyak wang. Terdapat tiga isi penting. Pertama, pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan bekerja. Kedua, yang mendatangkan kerja yang lebih lumayan atau kenaikan pangkat. Dan ketiga, mendatangkan lebih banyak wang. Maka, tiada persoalan lain. Saya adalah guru yang siang hari bekerja mengajar dan hanya menulis pada waktu senggang.Β
Sewaktu Tukang Puisi menyiarkan puisi Hadi Jaafar pada ahad 12 Julai, saya menunjukkannya kepada Zahirah dan beritahu yang dia adalah antara penulis lama yang memperkenalkan saya kepada puisi. Juga antara vokalis band yang paling saya gemari.Β
βJadi dia adalah penulis yang menyanyi?β
Saya sendiri tidak pasti. Kerana Laila's Lounge sudah tidak lagi muncul di pentas-pentas apatah lagi melahirkan album baharu. Tidak juga Hadi Jaafar mengeluarkan buku baharu kecuali naskah mutakhirnya yang merupakan himpunan daripada Di Pinggulmu ada Bulan dan turut ditambah entri baharu.Β
Kedua-duanya bukan kerjaya buat Hadi Jaafar. Dia tidak menulis setiap hari sebagai sebuah kerja. Tidak juga dia menyanyi sebagai satu sumber pendapatannya yang lumayan.Β
Mungkin ada satu lagi, kerjayanya yang tidak saya tahu. Jadi dia adalah Hadi Jaafar, seorang *** yang menulis dan menyanyi. Atau mungkin begini: orang yang mengenalnya daripada dunia perbukuan akan menggelarnya penulis puisi yang menyanyi untuk band. Sedang orang yang mengenalnya dari youtube dan spotify akan memanggilnya, penyanyi yang menulis puisi.Β
Hai, saya Zafry. Penulis (kebanyakannya mungkin) sastera yang mengajar Bahasa Inggeris di sekolah. Sejak di bangku sekolah, saya pasang cita-cita menjadi penulis. Yang mengarang. Yang melahirkan dari tangan-tangan saya naskah-naskah yang dibeli dan dibaca. Guru datang kemudian, setelah takdir mengheret saya ke lembah perguruan. Jika bukan kerana tarikannya maha kuat, saya tidak akan menjadi guru seperti sekarang.Β
Passion saya adalah menulis dan mengarang. Saya mahu dikenali sebagai penulis yang mengajar Bahasa Inggeris. Atau mungkin lelaki yang mengajar Bahasa Inggeris di sekolah dan menulis sastera di rumah. Namun untuk mengatakan kerjaya saya adalah sebagai penulis dan mengajar hanyalah hobi yang lahir kemudian juga salah.Β
Saya tanya Zahirah, bagaimana dengan Dr Shamsudin Othman.Β
βDia adalah kedua-duanya, penulis dan pensyarah,β katanya.Β
Ah, sungguh tidak adil.Β
Passion saya adalah menulis. Jadi untuk menjadikan passion saya yang pertama dan kerjaya saya yang kedua adalah benar juga.Β
Hai, saya Zafry. Seorang guru Bahasa Inggeris yang menulis (kebanyakannya mungkin) sastera. Dan saya ingin memohon maaf kepada WalaBarthes.Β
Mungkin teori kematian pengarang sudah tidak relevan dengan dunia di hujung jari. Pengarang akan bangkit semula daripada kuburannya semudah kata βtidakβ di peti DM atau postingan pendek media sosial.Β
Atau paling kurang, di hujung carian google, terbit dari mulut:
βAh, wajarlah tulisannya begini. β
Disiplin menjadi guru dan penulis bagi saya adalah dua disiplin yang berbeza. Guru dengan etika keguruannya yang patuh pada adab dan moral. Sementara penulis boleh berlayar jauh dan berlabuh di mana-mana pulau yang diingininya. Selagi tulisannya mendatangkan makna, persoalan isu tabu atau tidak bukan tergalas di bahu penulis. Kerana ada perkara tabu yang mahu tidak mahu, perlu disentuh penulis demi kemaslahatan sosial.Β
Menulis cerpen βDilema Gadis Berdada Montokβ dalam kumcer sulung saya, Cengkerumah menjemput rasa takut ke rumah hati saya. Persoalan seperti: apa yang akan mereka fikirkan jika tahu saya seorang guru? Bagaimana penilaian mereka selepas itu? Apatah lagi jika teman-teman sejawat yang membaca karya itu? Bagaimana persepsi terhadap penulisan saya?Β
Menjadi penulis, saya sangat ingin menanggalkan jubah seorang guru dan menggantikannya dengan kemeja seorang penulis. Sekurang-kurangnya tiada yang akan menilai saya dengan senarai semak seorang cikgu.Β
Sewaktu Shahnon Ahmad menulis SHIT, perbahasan muncul sehingga ke kaca tv tentang wajarkah gelaran Sasterawan Negara dilucutkan untuk Shahnon Ahmad. Walhal kita tahu sumbangannya dalam bidang penulisan prosa amat tebal. Namun kerana waktu itu, Shahnon Ahmad bukan dinilai sebagai seorang penulis yang tugasnya menulis. Sebaliknya seorang Sasterawan Negara yang menjadi ikon penulisan kebangsaan. Maka isu layak atau tidak beliau menggalas gelaran Sasterawan Negara itu bangkit.Β
Jadi beliau adalah Sasterawan Negara yang menulis SHIT. Bukan penulis SHIT yang merupakan Sasterawan Negara
Mungkin akhirnya, ini hanyalah persoalan banal yang wujud dalam tempurung kepala saya. Mungkin hal yang patut saya imani adalah sabda Tyler Durden yang mafhumnya:
βKau bukan kerja kau. Kau bukan jumlah duit yang ada dalam bank kau. Kau bukan kereta yang kau pandu. Kau bukan apa yang ada dalam dompet kau. Kau bukan βfucking' khakis. Kau adalah najis dunia yang menari dan menyanyi.β
Jadi hai, saya Zafry. Saya bukan guru Bahasa Inggeris yang menulis (kebanyakannya mungkin) sastera. Saya bukan penulis (kebanyakannya mungkin) sastera yang mengajar Bahasa Inggeris. Saya salah satu najis dunia yang menyanyi dan menari.Β













