New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/28/masa-untuk-hentikan-himpunan-dan-tangkapan-saifuddin-abdullah/
Masa untuk hentikan himpunan dan tangkapan - Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR, 28, Mac:
Melihat kepada insiden tangkapan beberapa tokoh dikenali serta rancangan mengadakan perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah tampil menggesa semua pihak bertenang.
Semalam, beberapa aktivis dan pemimpin politik pembangkang ditahan polis, kerana dikaitkan dengan aktiviti yang disifatkan sebagai “perhimpunan haram” oleh pihak penguat kuasa berkenaan.
“Saya faham dengan maksud pendirian pihak-pihak yang terbabit dalam penentangan yang hebat di jalanan sekarang.
“Saya rasa kita telah menyaksikan terlalu banyak insiden, di mana sesetengah orang telah melampaui batas. Suasana permusuhan agak keterlaluan kini.
“Saya ingin menyeru agar suasana ini ditamatkan,” kata Saifuddin kepada The Rakyat Post, apabila diminta mengulas situasi terkini dalam negara.
Saifuddin turut menyarankan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), yang mana beliau seorang daripada anggotanya, bertindak selaku orang tengah antara kedua-dua pihak bertelagah.
MPPN dianggotai 30 tokoh negara ini, termasuk daripada kalangan ahli politik daripada kedua-dua pihak yang tidak sehaluan, ahli akademik dan aktivis masyarakat.
“Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat MPPN pada 30 Mac ini. Saya akan cadangkan supaya MPPN memainkan peranan sebagai orang tengah,” kata Saifuddin.
Semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli ditahan, kerana mengeluarkan kenyataan berhubung perhimpunan #KitaLawan yang akan berlangsung petang ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan, ditahan di pusat khidmatnya di Pandan.
Turut ditahan adalah aktivis pro pembangkang, Hishamuddin Rais.
Hishammuddin ditahan ketika berjalan di kaki lima menuju ke Dataran Merdeka, berhampiran lampu isyarat di kawasan itu, pada Jumaat malam, untuk menghadiri ceramah anti GST #KitaLawan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula ditahan pada jam 12.20 pagi tadi, di Pulau Pinang, ketika hendak menjamu selera, selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan di Kepala Batas.
Namun, Seketariat #KitaLawan hari ini melalui satu kenyataan berkeras akan meneruskan perhimpunan pada setiap Sabtu, termasuk pada petang ini.










