New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/19/ketua-pemuda-pas-kelantan-pertahan-hadi/
Ketua Pemuda PAS Kelantan pertahan Hadi
KUALA LUMPUR, 19 Januari:
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari hari ini sekali lagi tampil dengan satu kenyataan mempertahankan kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu.
Menurut beliau, cadangan yang mendesak Abdul Hadi melepaskan jawatan itu bukanlah suara majoriti ahli parti berkenaan.
“Saya suka memberikan pandangan menyokong Presiden PAS sekarang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden untuk sesi yang akan datang memandangkan kemampuan beliau dari sudut ilmu dan politik yang masih tidak menghalang untuknya memimpin.
“Ia merupakan satu kombinasi yang cukup mantap bersama Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am yang merupakan ikon kepimpinan ulama selaku pemimpin spiritual yang tertinggi di dalam Majlis Syura Ulama PAS Pusat.
“Sekalipun ia dilontarkan oleh pihak yang tidak mempunyai autoriti, namun liputan meluas yang diberikan boleh mendatangkan persepsi bahawa kononnya ia merupakan desakan majoriti ahli parti,” katanya.
Saranan itu dibuat setelah adanya suara-suara yang menginginkan Abdul Hadi melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu.
Sebelum ini, bekas exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan supaya Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti yang akan diadakan pertengahan tahun ini.
Sebaliknya Zulhazmi mencadangkan supaya Abdul Hadi menggantikan Nik Aziz yang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.
PAS dijangka akan mengadakan pemilihan parti bagi penggal 2015-2017 pada pertengahan tahun ini dan tumpuan diberikan kepada Abdul Hadi sama ada akan mengekalkan jawatan yang disandang atau sebaliknya.










