New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/14/penduduk-minta-atasi-masalah-banjir/
Penduduk minta atasi masalah banjir
Penduduk di Bandar Tun Hussein Onn meminta pihak berkaitan turun padang, bagi menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan sejak sekian lama.
Ini kerana, banjir kilat yang sering berlaku di Jalan Suasana 2/7 sejak beberapa tahun lalu, masih belum mendapat perhatian pihak berkenaan.
Tinjauan The Rakyat Post di kawasan berkenaan mendapati, punca banjir yang berlaku itu mungkin disebabkan sistem perparitan yang perlu dinaik taraf, ekoran pembangunan di kawasan terbabit.
Menurut penduduk, Ahmad Rizal Abdullah, 38 tahun, sistem perparitan di kawasan itu perlu dinaik taraf segera, ekoran masalah banjir kilat yang sering berlaku.
Jelasnya, keadaan itu sememangnya berbahaya kepada penduduk, terutamanya kanak-kanak dan mungkin boleh meragut nyawa.
“Kalau hujan tidak berhenti selama satu jam, biasanya air akan naik dan menenggelamkan parit. Pada Januari lalu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun lemas akibat dibawa arus deras, selepas terjatuh ke dalam parit tersebut.
“Ketika kejadian, kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dan tidak nampak parit yang telah dipenuhi air, kerana hujan lebat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Chua Beng Kee, 49 tahun, berkata beberapa mesyuarat telah diadakan antara penduduk, pemaju serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), bagi mencari jalan penyelesaian.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini, masih belum ada tindakan diambil pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata kerja-kerja bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu adalah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliat turut kecewa dengan sikap JPS yang tidak menyertainya dalam lawatannya ke kawasan berkenaan, baru-baru ini, bagi mendapatkan pandangan dan mencari penyelesaian terhadap masalah itu.
“Ia telah menyebabkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf ini terpaksa ditunda, kerana MPKj memerlukan ulasan daripada pihak JPS yang mempunyai kepakaran dan lebih berpengalaman dalam isu perparitan serta saliran, sebelum meluluskan sebarang cadangan,” katanya.
Sehubungan itu, Ng menyifatkan JPS sebagai sebuah agensi yang sangat lemah dalam menguruskan apa jua masalah berkaitan sistem perparitan.
Jelasnya, masalah yang dihadapi penduduk di Taman Balakong Jaya juga belum selesai, walaupun aduan berhubung masalah parit tersumbat yang kini menjadi tempat pembiakan Aedes, telah dibuat sebelum ini.
Justeru, Ng berharap penduduk setempat boleh bersabar, di samping MPKj diminta berusaha mendapatkan ulasan JPS secepat mungkin, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.