New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/sukan/2015/02/01/sukan-sea-di-singapura-lebih-kepada-ketengah-pelapis/
Sukan SEA di Singapura lebih kepada ketengah pelapis
Penyertaan Malaysia pada Sukan SEA di Singapura, pada Jun depan adalah lebih kepada mengetengahkan pelapis dan juga atlet pembangunan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, jika Sukan SEA sebelum ini, Malaysia memberi fokus kepada pungutan pingat emas, iaitu berapa banyak pingat emas boleh dimenangi, tetapi kali ini dasar itu telah diubah.
“Jadi, kita menganggap Sukan SEA sebagai peringkat pembangunan dan kita hendak dedahkan pelapis kita.
“Oleh itu, kita tidak hanya boleh melihat kepada pingat emas semata-mata, tetapi kita juga harus lihat kepada pingat secara keseluruhan dan juga prestasi pelapis kita.
“Cita-cita kita adalah lebih besar lagi, seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kalau setakat Sukan SEA, kita tidak akan sampai ke mana,” katanya selepas majlis perasmian program Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2015 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.
Mengenai persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura itu, Khairy berkata, setakat ini persiapan berjalan lancar dan sedang ditingkatkan.
Jelasnya, Malaysia akan menyertai 35 daripada 36 acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.
“Majlis Sukan Negara sedang memperhalusi acara dan juga atlet yang akan kita hantar ke Sukan SEA tersebut,” katanya.
Sementara itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan mengumumkan tarikh baru bagi sambutan Hari Sukan Negara 2015 tidak lama lagi, memandangkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada November tidak sesuai, kerana keadaan cuaca tidak menentu.
Menurutnya, Kabinet juga bersetuju Hari Sukan Negara ini akan menjadi acara tahunan.
“Kita tetapkan Hari Sukan Negara ini pada Sabtu, pada tarikh yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Hari Sukan Negara ini akan diadakan serentak di seluruh negara. Yang penting, pada hari tersebut, kita hendak melihat di seluruh negara dibanjiri rakyat kita yang beriadah, bersukan dan yang terlibat dengan aktiviti kecergasan,” katanya.
Menteri Besar pula mencadangkan untuk mengadakan Hari Sukan Negeri Sembilan, sebulan sekali.
Mohamad berkata, Hari Sukan Negeri Sembilan itu dapat membudayakan konsep hari sukan itu.