New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/bisnes/2015/04/21/malaysia-hab-hak-cipta-perdagangan-serantau/
Malaysia hab hak cipta perdagangan serantau
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, Malaysia telah berjaya dalam bidang kewangan, perbankan Islam, pengurusan haji, pertanian dan industri halal.
Bagaimanapun katanya, kepakaran dan pengetahuan yang ada itu tidak disusun dalam bentuk yang berdaya maju atau secara komersial.
“Oleh yang demikian, saya berasa bangga dengan Kota Buku kerana telah berjaya mewujudkan platform bagi Malaysia untuk menjadi hab hak cipta perdagangan serantau dalam menawarkan kekuatan unik Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya dalam majlis Perasmian Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur 2015 (KLTCC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mary Yap berkata, menurut laporan tahunan, MyIPO ‘s 2013, pendapatan barangan yang dilindungi hak cipta, reka bentuk perindustrian, paten, tanda dagang dan tanda-tanda geografi telah menjana pendapatan sebanyak RM70 juta.
“Angka itu amat menggalakkan bagi ekonomi Malaysia kerana terdapatnya peningkatan dari segi hak cipta. Impian saya adalah untuk melihat industri buku Malaysia dimasukkan ke dalam skop MyIPO dalam masa terdekat untuk menjadi pemangkin bagi pertumbuhan dalam industri penerbitan.
“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia dalam menghasilkan kandungan sesuai dengan standard antarabangsa dalam usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perdagangan hak cipta serantau yang merupakan satu inisiatif strategik dan berharga,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya dan sejarah dalam bidang perdagangan dan beliau percaya bahawa Malaysia berpotensi menjadi hab perdagangan serantau dalam bidang hak cipta.
“Secara sosial, sejarah dan dari segi geografi, Malaysia terletak dalam laluan perdagangan yang berpotensi di rantau ASEAN dengan hampir 650 juta penduduknya.
“Dengan itu, Malaysia juga mengambil iniasiatif untuk mengukuhkan hubungan dengan China sebagai penerbit buku kedua terbesar di dunia. Dengan bantuan mereka, hab perdagangan serantau hak cipta di Kuala Lumpur mungkin tidak lama lagi akan menjadi kenyataan kerana masa depan ada di tangan kita.
“Menurut Pertubuhan Harta Intelek Dunia juga, Malaysia berada di kedudukan ketujuh di Asia, selepas Filipina dengan jumlah jualan pelesenan berjumlah RM230 juta. Jumlah itu mungkin bunyinya agak mengagumkan tetapi jumlah itu lebih rendah berbanding Jepun yang mempunyai jualan berjumlah RM35 bilion dalam tempoh masa yang sama,” katanya.
Tambahnya, Malaysia perlu mengambil langkah berani menjadi sebuah negara yang mempunyai kandungan bertaraf dunia.
“Ini penting untuk meningkatkan pendapatan negara dan meningkatkan keupayaan Malaysia dengan meningkatkan peluang pekerjaan.
“Malah dilaporkan oleh MSC Malaysia sejak ditubuhkan, terdapat peningkatan pekerjaan sebanyak 7.2 peratus dalam sektor ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mustar Mohd. berkata, Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur (KLTCC) dijangka bakal menyumbang kepada pendapatan negara kasar sehingga RM33 bilion menjelang 2020.
“Di Malaysia, industri penerbitan hanya memberi tumpuan kepada media cetak sahaja. Justeru, Kota Buku memperkenalkan penumpuan digital dan harta intelek supaya industri penerbitan boleh dikembangkan kepada industri kreatif seperti buku digital interaktif, animasi, filem dan produksi televisyen, permainan komputer, aplikasi, perlesenan dan permainan serta media digital lain.
“KLTCC juga telah menarik sekurang-kurangnya 20 pembeli media berprofil tinggi dalam pelbagai hak cipta dan harta intelek dalam program Pemadanan Perniagaan yang komprehensif termasuklah Turner Entertainment Networks Asia, Cartoon Network Asia, VTV (Vietnam), WebTvAsia (Malaysia), Dancing Digital Animation (China), One Vision Entertainment (Indonesia), Aurora World Corp. (Korea), Empire Multimedia Corporation (Filipina), Voozclub (Korea) Dan banyak lagi yang membawa potensi perniagaan bernilai kira-kira RM18,169,416,” katanya.
Di samping itu, terdapat beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Kota Buku dengan Zhejiang Publishing United, Lembaga Pembangunan Buku Kebangsaan Filipina dan Penerbit dan Persatuan Penjual Buku Myanmar untuk faedah industri penerbitan bersama.