New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/29/pengusaha-ikan-kelah-rugi-setengah-juta/
Pengusaha ikan kelah rugi setengah juta
Seorang pengusaha ikan air tawar kerugian hampir setengah juta ringgit, apabila ternakan ikan kelahnya di sebuah kolam mati, dipercayai akibat diracun, dalam kejadian di Kampung Lepan Jaya.
Mat Nawi Hussin, 55 tahun, berkata, dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, kira-kira 6,000 ekor ikan kelahnya mati.
Katanya, dia hanya menyedari perkara itu, ketika hendak memberi makan kepada ikan-ikannya pada jam 8 pagi hari itu.
“Saya terkejut, apabila melihat banyak ikan kelah timbul dan terkapai-kapai di permukaan air.
“Saya yang ketika itu panik, terus memanggil ahli keluarga untuk melihat keadaan ikan dan kami berusaha mengutip ikan yang masih hidup dan memindahkan ke kolam lain, namun gagal, apabila ikan itu mati,” katanya yang mempunyai lapan kolam ikan di tanah seluas 1 hektar.
Mat Nawi yang mengusahakan kolam itu sejak 16 tahun lalu memberitahu, kejadian itu kali pertama berlaku ke atasnya.
Katanya, sebanyak 4,000 ikan kelah seberat satu kilogram dan ke atas, serta 2,000 ekor anak ikan kelah di kolam itu, terus mati sehingga hari ini.
Menurutnya lagi, ikan kelah itu dijual pada harga RM150 sekilogram, manakala anak ikan pula dijual pada harga RM15 seekor.
Jelasnya, perkara itu sudah dirujuk kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
Mat Nawi yang tidak mahu menuduh sesiapa mensabotaj perniagaannya berkata, kebanyakan ikannya dijual untuk pasaran tempatan, seperti di Pahang dan Johor.
Antara ikan air tawar lain yang turut diusahakan Mat Nawi adalah talapia, patin dan tongsan.