New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/04/29/baucar-bb1m-hanya-untuk-buku/
Baucar BB1M hanya untuk buku
KUALA LUMPUR, 29 April:
Penggunaan 20 peratus Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk membeli barangan lain, selain buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah akan dimansuhkan mulai 1 Mei ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan BB1M untuk pembelian barang bukan akademik.
“Kementerian telah memperkemas garis panduan pemberian BB1M yang berkuat kuasa 1 Mei ini. BB1M hanya untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah.
“Kelonggaran yang membolehkan mahasiswa menggunakan 20 peratus daripada nilai baucar tidak dapat dihabiskan untuk membeli barang lain, selain buku dimansuhkan,” demikian menurut kenyataan itu.
BB1M diperkenalkan sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan pelajar.
Seramai 3.9 juta mahasiswa prauniversiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warga Malaysia menerima BB1M dengan peruntukan berjumlah RM890 juta.
Bagaimanapun, kementerian menerima aduan penyalahgunaan BB1M yang semakin serius di kalangan, termasuk menggunakannya untuk membeli barang lain seperti tudung, pakaian dan cermin mata.
Selain itu, syarikat yang menyertai pameran juga secara terang-terangan memaparkan penerimaan baucar itu bagi barang bukan akademik.
Kementerian memandang serius penyalahgunaan itu dan akan menyenaraihitamkan mana-mana kedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M.
“Mereka (pemilik kedai buku) juga tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.
Jelas, peraturan baru itu adalah tambahan kepada peraturan sedia ada, iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak menyalahgunakan BB1M.
Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan itu boleh didapati di portal rasmi kementerian www.moe.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urus setia BB1M melalui e-mel [email protected].










