Falsafah & Magis Debat
By Azzaire Rosli
Debat bukan budaya kita.
Apabila ungkapan ini dizahirkan oleh Perdana Menteri kita, ramai yang mengkritik kenyataan ini dan tidak kurang juga yang melabelkan kenyataan ini sebagai kenyataan seorang pengecut. Jujurnya, saya tidak terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh PM, tapi saya sebenarnya terkesima dengan respon yang diberikan oleh rakyat.
Mengapa? Sebab selama saya berkecimpung dalam dunia debat, saya memang tidak nampak debat itu dibudayakan secara meluas dalam relung komuniti yang saya hidup. Lantas, apabila wujudnya respon menggila ini, saya tertanya semula, bila debat ini menjadi satu budaya?
Kendati pun begitu, jika benar ia sudah terbudaya, saya pastinya amat gembira dengan khabar terbaru ini. Sebab? Debat sememangnya suatu disiplin ilmu yang punya magis tersendiri. Melalui debatlah, saya melihat sesuatu perkara dengan lebih terperinci. Debat mengajar saya bagaimana idea yang biasa, malah juga dianggap klise, boleh menjadi sebuah cernaan minda yang hebat jika diperhalusi sedalam-dalamnya.
Contoh, bagaimana debat mengajar saya bahawa sebuah kereta bukan hanya berkisar pada empat buah roda yang menggerakannya, bukan juga berkisar pada kuasa enjinnya, tapi sebuah kereta juga melambangkan ketamadunan sesuatu bangsa dan ketertinggian sesuatu ilmu. Kereta bukan hanya medium pengangkutan tapi juga simbol status dan kedudukan.
Dalam debat, yang paling mustahak adalah ilmu. Ramai yang salah sangka dengan mitos “asalkan pandai bercakap, mesti boleh berdebat” sedangkan ia amat salah sekali. Kerangka debat itu bermula dengan keupayaan minda untuk berfikir, dan bagi membolehkan ia berfikir, ia perlu diisi dengan ilmu.
Falsafah saya mudah, jika ada “benda” dalam otak, kita boleh bercakap apa saja tanpa masalah keranadebat ini bukannya sembang kosong, tetapi diskusi Melalui debatlah, saya melihat sesuatu perkara dengan lebih terperinci.ilmiah yang mana ilmu adalah senjata, mulut hanya pengantara. Kitab saya? Suratkhabar sahaja.
Kata orang, ilmu itu cahaya dan teori fizik pula menjelaskan bahawa cahaya itu tenaga. Maka, jika ditaakulkan, ilmu itu adalah tenaga yakni kekuatan untuk menggerakkan sesuatu dan debat pula menjunjung ketertinggian ilmu.
Atas dasar itu saya akan sentiasa percaya, betapa debat juga mampu membentuk dunia atas kuasa ilmu yang dijunjungnya.
Debat juga punya falsafah. Debat menuntut agar hormat itu diberikan kepada seteru, berdebat secara “gentleman”, bukannya dengan menipu. Debat mengajar agar jangan kurang ajar, biar menikam secara sopan, sinis dalam gurauan, tak perlu terpekik minta perhatian, hanya perlu tajamnya pilihan perkataan.
Debat memberitahu bahawa untuk meyakinkan orang itu bukan mudah, caranya kenabetul, ilmu di dada kena lengkap, dan yang paling penting, debat ini melatih kita untuk menyentuh jiwa kerana di akhirnya, yang kita jumpa adalah manusia, maka yang perlu kita belai adalah hatinya.
Inilah yang membentuk karakter saya. Daripada seorang yang gila-gila (hakikatnya masih), debat mengubah saya menjadi seorang yang lebih memahami sesuatu (manusia, isu, masalah) sebelum berkata apa-apa. Saya membesar dan hidup atas falsafah itu dan Alhamdulillah, apa yang saya kecapi hari ini, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh falsafah debat yang saya pegang.
Begitulah magisnya debat. Bercintalah dengannya, budayakanlah ia. Ia adalah seni kehidupan dan ia juga merupakan seni yang hidup.















