New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/28/hudud-bentang-secara-demokrasi-buka-ruang-kepada-bukan-islam-pertikai/
Hudud: Bentang secara demokrasi, buka ruang kepada bukan Islam pertikai
KUALA LUMPUR, 28 Mac:
Ketua Maktab I’lamiy, Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman berkata, sebaik sahaja kerajaan negeri Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) secara sebulat suara di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, 19 Mac lalu, hukum Allah S.W.T itu telah menerima kritikan lebih hebat berbanding sebelumnya, terutama daripada golongan bukan Islam dan liberal.
Sehubungan itu, Hizbut Tahrir Malaysia menegaskan, hudud adalah sebahagian daripada hukum Allah S.W.T dalam bab uqubat yang (uqubat itu) terdiri daripada empat, iaitu hudud, qisas/jinayat, takzir dan mukhalafat yang wajib ditegakkan kesemuanya.
Selain uqubat, sistem Islam merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, sosial (pergaulan), dasar pendidikan dan luar negeri, yang kesemuanya wajib diterapkan secara serentak, tanpa pengecualian mahupun alasan.
Menurutnya, meluluskan hudud melalui cara pembentangan, perbahasan dan pengundian, sebagaimana dilakukan DUN (mahupun Parlimen), bermakna telah menundukkan hukum Allah S.W.T kepada proses demokrasi dan meletakkan syarat pelaksanaan hukum Allah itu kepada ‘kelulusan’ manusia.
“Kesemua hal ini adalah haram untuk dilakukan, kerana membuat hukum itu adalah hak Allah S.W.T dan manusia hanya wajib melaksanakannya, bukan mengundi untuk meluluskannya.
“Hukum Islam wajib diterapkan secara kaffah oleh negara, kerana Allah S.W.T telah meletakkan taklif (bebanan) dan amanah kepada Ketua Negara (pemerintah) untuk melaksanakan hukum-hukumNya secara kaffah.
“Oleh itu, pemerintah wajib menerapkan hukum Allah secara keseluruhannya di setiap inci tanah kekuasaannya, bukan sebaliknya melepaskan diri, dengan alasan kuasa terletak kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Hakim berkata, usaha pelaksanaan hudud di bawah sistem demokrasi yang tidak bertepatan dengan syarak, ternyata membuka ruang kepada orang bukan Islam, puak liberal dan sekular untuk mempertikai dan merendah-rendahkan, sehingga ke tahap mempermainkan serta menghina hukum Allah S.W.T.
“Ini semua natijah daripada konsep kebebasan dan amalan dalam demokrasi yang mendewa-dewakan akal dan menafikan agama sebagai penentu dan pengatur kehidupan.
“Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas golongan penghina Islam ini, walaupun kami sedar agak mustahil untuk pemerintah yang juga sekular untuk mengambil tindakan ke atas golongan yang mempunyai pemikiran sama dengan mereka.
“Kepada golongan yang menentang hukum Allah S.W.T, bertaubatlah sebelum kamu secara pasti, menemui Pencipta kamu!” katanya.
Tegasnya, menegakkan syariah secara kaffah adalah wajib dan ia wajib dilakukan dengan cara yang syarie, bukan dengan jalan demokrasi yang penuh penyesatan, mengikut acuan Barat.











